Saturday, 22 September 2012

WAWASAN 2020

 




Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.



Cabaran utama

Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:
  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
  2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
  5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.
Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak semestinya menjadi urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang. Tentunya keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan khusus pada masa berkenaan.

Tuesday, 18 September 2012

VISI,MISI DAN MOTO NEGARA

      VISI
Menjadi Jabatan yang unggul dalam mempertingkatkan kesedaran, kefahaman dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan melalui gagasan 1Malaysia berteraskan prinsip Rukun Negara.

MISI

  • Memperkukuhkan kestabilan politik negara dengan mendapatkan sokongan rakyat terhadap Kerajaan melalui gagasan 1Malaysia;
  • Mendorong dan memimpin pendapat positif rakyat (leading public opinions) terhadap Kerajaan melalui pendekatan bersepadu;
  • Menjadi perantara hubungan timbalbalik (reciprocity) di antara Kerajaan dan rakyat Malaysia dalam dan luar negeri; dan
  • Meningkatkan perpaduan dan keharmonian rakyat berteraskan Rukun Negara.
MOTO
"Memimpin Pendapat Rakyat" (Leading Public Opinions) ke arah menyokong Kerajaan melalui gagasan 1Malaysia.

YANG DI-PERTUAN AGONG











senaraiagong
 senaraiagungbaru14




















PENUBUHAN MALAYSIA

Penubuhan Malaysia

Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di depan Persatuan Wartawan Asing di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961, menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Sarawak, dan Sabah. Antara lain, ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.
Untuk memberikan kebebasan dan keadilan kepada semua pihak, pada 17 Januari 1962 sebuah suruhanjaya yang akan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut telah diumumkan dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.
Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Secara keseluruhan, lebih lapan puluh peratus bersetuju dengan gagasan tersebut dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan British.
Kata sepakat telah dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne.
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan wujud pada 31hb Ogos, 1963.
Ketika ura-ura pembentukan Malaysia menjadi kenyataan, Filipina dan Indonesia menentang keras gagasan tersebut. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya manakala Indonesia yang mempunyai perancangan mewujudkan Indonesia Raya telah cuba menggagalkan usaha tersebut dengan lebih keras lagi dengan mengisytiharkan Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia dihantar menyusup sempadan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak serta Johor.
Cabaran getir yang dihadapi ini tidak mematahkan semangat pemimpin dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah untuk melihat satu negara bersatu. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoroti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia.
Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan. Bagaimanapun, penyertaan Singapura hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila terpaksa berpisah pada 1965.

SENARAI PEJUANG-PEJUANG KEMERDEKAAN

Kehadiran British ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1786 telah menyemarakkan lagi usaha penentangan orang Melayu terhadap penjajah terutama apabila British mula mencampuri urusan pentadbiran tempatan. Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah Melayu malah juga di Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-British memperlihatkan gelombang penentangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tempatan berikut:
  1. Penghulu Dol Said di Naning,
  2. Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti
  3. Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong,
  4. Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor
  5. Sultan Abdullah di Perak,
  6. Dato’ Bahaman,
  7. Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang,
  8. Tok Janggut di Kelantan,
  9. Raja Mahadi di Selangor,
  10. Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu,
  11. Tok Moris, Tunku Kudin
  12. Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap,
  13. Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak serta
  14. Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah.
Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun semangat juang mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan tanah air wajar disanjung.
Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata pena.
Arus kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-20. Antaranya,
  1. Sheikh Tahir Jalaluddin,
  2. Syed Sheikh Al-Hadi,
  3. Sheik Muhammad Akil,
  4. Sheikh Awad Saidin
  5. Haji Abas Taha.
Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.
Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa orang tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera seperti:
  1. Zainal Abidin Ahmad (Za’ba),
  2. Harun Muhammad Amin,
  3. Abdul Hadi bin Hassan,
  4. Burhanuddin Al-Helmi dan (Tokoh PAS yang terlibat sama menuntut Merdeka)
  5. Abdul Rahim Kajai.
Dalam perkembangan seterusnya menyaksikan beberapa buah parti politik dan persatuan yang ditubuhkan bagi melahirkan gerakan penentangan yang lebih bersepadu.
Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941 dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu bermula Februari 1942 hingga September 1945 telah meninggalkan kesan dan pengalaman yang pahit kepada seluruh penduduk di negara ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar terhadap persekitaran dan perkembangan yang berlaku. Jepun turut menyemaikan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu supaya membenci British melalui cerapan ideologi ’Asia Untuk Asia’.
Arus kebangkitan semangat nasionalisme peringkat kedua telah diperlihatkan melalui gerakan penentangan hebat terhadap Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946 setelah British mengambil alih semula pentadbiran Tanah Melayu dari tangan Jepun. Penubuhan PEKEMBAR (UMNO) pada 11 Mei 1946 menggabungkan suara pertubuhan-pertubuhan Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union. Penentangan secara bersepadu ini telah membuahkan hasil apabila Malayan Union dibubarkan. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan pada 1 Februari 1948.
Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn kepada Tunku Abdul Rahman
dilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme peringkat ketiga iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Serentak itu, slogan ’Hidup Melayu’ diubah kepada ’Merdeka’ sesuai dengan perubahan matlamat perjuangan UMNO.
Sebagaimana ucapan Tunku Abdul Rahman Putra di Persidangan Agong Pemuda UMNO pada 3 April 1953, ”cogan Hidup Melayu bermakna kita sedia duduk di bawah naungan British dan berjuang untuk menyelamatkan kedudukan bangsa kita serta merebut kelebihan bangsa kita dengan belas rahim British. Tetapi slogan Merdeka itu bermakna kita bebaskan diri kita dari naungan British dan berdiri di atas kaki kita sendiri. Bagi menyelamat dan mendapatkan kelebihan-kelebihan untuk bangsa kita, terpulanglah kepada kita sendiri dan tidak lagi berharapkan belas rahim British lagi”.
Ringkasan Sejarah dan aliran langkah ke arah mencapai kemerdekaan:
  1.     Persidangan Malaya Merdeka Di London
  2.     Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
  3.     Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Banda Hilir, Melaka
  4.     Suruhanjaya Perlembagaan REID
  5.     Rombongan Kemerdekaan Pulang Dari London
  6.     Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Pertama
  7.     Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu
  8.     Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Di Tandatangani
  9.     Pengumuman Perlantikan Gabenor Pulau Pinang dan Melaka
  10.     Rang Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan
  11.     Pengumuman Jemaah Kabinet Yang Pertama Selepas Merdeka
  12.     Duke Gloucester, Wakil Baginda Queen Tiba Untuk Upacara Kemerdekaan
  13.     Tunku Abdul Rahman Dikurniakan Gelaran Bapa Kemerdekaan
  14.     Perasmian Stadium Merdeka
  15.     Bendera Union Jack Diturunkan di Melaka
  16.     Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor
  17.     Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu
  18.     Penetapan Tarikh Merdeka Pada 31 Ogos 1957

SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA


 sejarah merdeka 1957
Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.
Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

Pengistiharan Kemerdekaan
Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan ‘Stadium Merdeka’.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato’ Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato’ Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.
7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato’ Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.
9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.
Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. ‘God Save The Queen’ berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.
Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.
Duke kemudiannya menyerah ‘Instrumen Kemerdekaan’ yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik ‘perlindungan’ yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.
Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut “Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah  Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka”. Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.
Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kemajuan Pembangunan Infrastruktur

1999 - Putrajaya

 

 

emel Cetak PDF
Putrajaya, bandaraya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.Berbanding dengan Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dengan bercirikan budaya tempatan. Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya akan menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT).

Putrajaya seluas 4,931 hektar ini dibangunkan dengan kos RM20.5 billion mengandungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Perumahan, Kemudahan komersial, kemudahan sosial dan kemudahan keagamaan.
Lawat Web

1999 - Istana Budaya

emel Cetak PDF
Sejarah Istana Budaya bermula pada tahun 1964 dan proses penubuhannya dimulakan pada tahun 1971 oleh Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Pada tahun 1994 pula, perancangan pembinaan bangunan Panggung Negara(sebelum dikenali sebagai Istana Budaya) bermula.Proses pembinaannya dimulakan pada tahun 1995 dan tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 1998, Panggung Negara berpindah ke premis barunya yang terletak di Jalan Tun Razak. Pada bulan Mei 1999 menyaksikan logo Istana Budaya dilancarkan dan pada 15 September 1999, Istana Budaya yang dahulunya dikenali sebagai Panggung Negara telah dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed.
Lawat Web

 


1998 - Laluan Kedua Malaysia-Singapura

 

 

emel Cetak PDF
Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), ialah sebuah rangkaian jambatan lebuh raya yang menghubungkan Johor, Malaysia dengan Singapura. Lebuh raya sepanjang 44 kilometer itu menghubungkan bandar Senai di utara hingga ke sempadan Malaysia-Singapura iaitu di Tuas. Ia dibina untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Laluan Kedua ini telah dibuka secara rasminya pada 18 April 1998.
Lawat Web

1998 - Kompleks Sukan Negara Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

 

emel Cetak PDF
Kompleks Sukan Negara Malaysia yang indah dan mengkagumkan dibina khusus sebagai pentas utama untuk Sukan Komanwel 1998 . Komplek sukan ini menjadi nadi utama bagi hasrat kesukanan Malaysia pada kurun ke-21. Kompleks Sukan Negara ini boleh menganjurkan aktiviti sukan yang pelbagai jenis dan juga acara utama yang berorientasikan perniagaan dan hiburan.

Kawasan utama Kompleks Sukan Negara terdiri dari tiga bangunan sukan asas. Ini termasuk Stadium Nasional yang mempunyai 100,000 tempat duduk. Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Putra. Setiap bangunan telah direkabentuk dan dibina mengikut taraf yang diperakui bertaraf antarabangsa.
Lawat Web

 


1998 - Sistem Transit Rel Ringan PUTRA

emel Cetak PDF
Sistem transit rel ringan PUTRA yang menghubungkan kawasan-kawasan sub-bandar di sebelah timur dan barat Kuala Lumpur merupakan sebahagian dari sistem pengangkutan moden di bandar raya itu. Sistem yang meliputi laluan sejauh 29km ini adalah sistem kereta api ringan automatik tanpa pemandu terpanjang di dunia pada tahun pertama operasinya, sehingga perkhidmatan kereta api ringan di Lille, France dipanjangkan kepada 32km pada tahun 2000.
Sistem ini kini dikenali sebagai Kelana Jaya Line(KLJ) sejak July 2005.
Lawat Web

1998 - Wetland Putrajaya

 

 

 

emel Cetak PDF
Wetland Putrajaya yang terletak di pinggir pusat pentadbiran baru Malaysia adalah taman paya air tawar buatan yang terbesar di kawasan tropika. Di samping berperanan sebagai pusat pendidikan, riadah dan eko-pelancongan, taman ini berfungsi sebagai sistem kawalan banjir dan penampung sistem penapisan air semulajadi bagi keseluruhan 600 hektar Tasik Putrajaya. Lebih dari 70 spesies tanaman paya dan 24 spesies ikan air tawar telah dibiakkan di taman ini.
Lawat Web

1998 - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

 

 

 

emel Cetak PDF
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terletak di daerah Sepang, Selangor, 50 kilometer dari Kuala Lumpur adalah lapangan terbang terbesar dan tersibuk di Malaysia. Dibuka pada tahun 1998, ia juga merupakan hab utama bagi Penerbangan Malaysia dan AirAsia. Cogan katanya lapangan terbang ini ialah "Membawa Dunia Ke Malaysia Dan Malaysia Ke Dunia" . Lapangan terbang ini berkonsepkan "lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang". Keadaan ini dapat memberi ketenangan kepada penumpang dan memperkenalkan suasana hutan Malaysia kepada pelancong luar negara.
Lawat Web

1997 - Kereta kabel Genting Skyway

emel Cetak PDF
Perkhidmatan kereta kabel Genting Skyway di Genting Highlands, Pahang adalah sistem kereta kabel terpanjang di Malaysia dan di Asia Tenggara. Sistem ini merentangi jarak sepanjang 3.38km dari stesennya di kaki bukit hingga ke hotel peranginan yang terletak 2,000m dari aras laut. Sistem ini juga merupakan sistem kereta berkabel tunggal yang terpantas di dunia – setiap gondola yang boleh membawa 6 penumpang itu boleh bergerak pada kelajuan maksimum 6m sesaat atau 21.6km sejam.
Lawat Web

1996 - Menara Berkembar Petronas

 

 klcc

 emel Cetak PDF

Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan yang tertinggi di dunia iaitu mecapai ketinggian 451.9m (1483 kaki). Menara berkembar ini disambungkan pada tingkat 41 dan 41 dengan menggunakan satu jejantas yang berukuran sepanjang 58.4 meter. Menara ini yang telah direkabentuk oleh Cesar Pelli and Associates telah menelan belanja sebanyak US$1.2bn. Menara ini telah dibina untuk dijadikan ibupejabat korporat PETRONAS dan juga sebahagian daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Menara 88 tingkat ini direkabentuk dengan prinsip geometrik yang mengutamakan ciri-ciri senibina Islam. Simbol geometrik yang digunakan adalah merangkumi semua prinsip Islam iaitu stabiliti, keharmonian, perpaduan dan rasional.
Lawat Web

1996 - Menara Kuala Lumpur

 

 

emel Cetak PDF
Menara Kuala Lumpur setinggi 421m adalah menara telekomunikasi keempat tertinggi di dunia. Dibuka pada 1996, menara ini menampilkan rekabentuk bercirikan seni tradisi Malaysia dan Islam. Menara ini direkabentuk oleh Kumpulan Senireka Sdn Bhd dan dibina oleh firma Wayss & Freytag dari Jerman.
Lawat Web

1994 - Lebuh Raya Utara-Selatan

 

 

emel Cetak PDF
Lebuh Raya Utara-Selatan adalah projek lebuh raya kebangsaan pertama yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Malaysia merentasi sembilan buah negeri menghubungkan bandar-bandar utama di bahagian barat Semenanjung Malaysia menjadikan ia lebuh raya terpanjang di Malaysia dengan panjang keseluruhan 847.7 kilometer.

Lebuh raya Utara-Selatan adalah pemangkin kepada nadi pembangunan dan tulang belakang bagi rangkaian pengangkutan di barat Semenanjung Malaysia. Ia dikendalikan oleh syarikat konsesi PLUS Expressway Berhad.
Lawat Web

1992 - Keretapi Tanah Melayu Berhad

emel Cetak PDF
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merupakan pengendali kereta api utama di Semenanjung Malaysia. Dahulunya sebuah agensi di bawah Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu (Malayan Railway Administration), ia kini dikenali sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Bhd atau KTMB) kesan kempen pengkorporatan yang diterajui kerajaan pada tahun 1992. Namun, KTM masih dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. KTM menawarkan 2 jenis perkhidmatan, KTM Antarabandar dan KTM Komuter.
Lawat Web

1988 - Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

emel Cetak PDF
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di bandaraya Shah Alam, yang boleh memuatkan 24,000 pada satu-satu masa, adalah yang masjid terbesar di Asia Tenggara. Masjid ini juga mempunyai menara tertinggi dan kubah rumah ibadat yang terbesar di dunia. Kubahnya mempunyai ketinggian 106.7m pada puncaknya dan bergarispusat sepanjang 51.8m. Masjid ini siap dibina pada 11 Mac 1988.

1985 - Jambatan Pulau Pinang

emel Cetak PDF
Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Ia adalah sepanjang 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Ia menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tanah besar semenanjung di Seberang Prai.

Kerja pembinaan bermula pada tahun 1982 dan siap dibina pada tahun 1985. Jambatan ini membawa kebanggaan kepada negara. Ia diakui sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan (cable-stayed bridge) yang terawal di dunia.
Lawat Web.