Hussein Onn
Hussein Onn | |
![]() |
|
Jawatan | Perdana Menteri ke-3 |
---|---|
Tempoh perkhidmatan | 15 Januari 1976 - 16 Julai 1981 |
Timbalan | Dr. Mahathir Mohamad (1976 - 1981) |
Menurut | Tun Abdul Razak |
Menggantikan | Dr. Mahathir Mohamad |
Parti politik | UMNO |
Tarikh lahir | 12 Februari 1922 |
Tempat lahir | Johor Bahru, Johor |
Tarikh kematian | 29 Mei 1990 |
Tempat kematian | San Francisco Selatan, Amerika Syarikat |
Pekerjaan | Peguam |
Agama | Islam |
Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".
Asal-usul
Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn menerima pendidikan awal di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Malangnya pendidikan beliau tidak dapat diteruskan selepas menamatkan Senior Cambridge kerana meletusnya Perang Dunia Kedua. Tun Hussein terus menyertai Pasukan Tentera Johor (Johor Military Forces) dan menjalani latihannya di Maktab Tentera Sandhurst di Dehra Dun, India dan setelah ditauliahkan beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19.Bermula tahun 1942 Tun Hussein terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, Tun Hussein ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.
Apabila Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, Tun Hussein kembali ke Tanah Melayu dan memulakan tugasnya sebagai Pemerintah Polis Depot, di Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, Tun Hussein dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa.
Kemudiannya Tun Hussein menjadi ahli Perkhidmatan Pentadbiran Melayu. Beliau dihantar ke beberapa tempat di Johor dan Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah.
Semangat Datuk Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Tun Hussein kemudian menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila ayahandanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, Tun Hussein dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Di samping penglibatannya dalam politik, Tun Hussein memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1950 beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
Walau bagaimanapun penglibatan Tun Hussein mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila Datuk Onn bin Jaafar menarik diri dari UMNO, Tun Hussein kemudianya menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Tun Hussein kemudiannya meninggalkan alam politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus pada tahun 1958.
Sekembalinya ke tanah air Tun Hussein membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu beliau telah pun berumah tangga dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Hj Mohd Noah dan mempunyai 6 orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang beliau menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969 Tun Hussein dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri dari arena politik, tapi UMNO yang mempunyai kepercayaan atas kebolehan beliau mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana Tun Hussein memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah sahaja pada Mei 1969.
Masa muda
Dilahirkan di Johor Bahru, Hussein Onn adalah anakanda kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Bondanya Datin Halimah Hussein.Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini digelar "Maktab Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik Hussein Onn sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.
Hussein Onn pulang ke Malaysia pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Pada tahun berikut, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Hussein Onn kemudian ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di mana beliau menjadi pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.
Pendidikan
- English College Johor Bahru hingga lulus Senior Cambridge.
- 1940 - Masuk Maktab Tentera di Dehra Dunn, India.
- 1958 - Lulus Ijazah Undang-undang dari Lincoln's Inn, London.
Kerjaya politik
Hussein Onn yang berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai semangat nasionalisme dan akar politik yang mendalam, kemudian meletakkan jawatan perkhidmatan awam untuk menyertai politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Bagaimanapun, Hussein Onn meninggalkan UMNO pada tahun 1951 untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan oleh ayahandanya.Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Hussein Onn pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau pulang ke Malaya sebagai seorang peguam bertauliah dan bekerja di Kuala Lumpur.
Kebangkitan untuk berkuasa
Hussein Onn kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau mewarisi Tun Dr Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. [1]
Hussein Onn termasyhur dalam penegasannya terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masyarakat. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau meneruskan agenda pembangunan Allahyaraham Tun Abdul Razak; usahanya dalam memajukan Malaysia tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Hussein Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
Hussein Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia juga diperbesar dan dipermodenkan kerana kekalahan Vietnam Selatan oleh pihak komunis yang menggemparkan seluruh rantau Asia Tenggara.
Hussein Onn menjalani pintasan koronari pada awal 1981. Pada 17 Julai dalam tahun itu, beliau bersara daripada politik aktif dan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.
Peranan dan sumbangan
Selepas persaraan
Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Tun Hussein juga menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan Tun Hussein dengan Dr. Mahathir menjadi buruk, dan beliau menyokong 'Team B' bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, Tun Hussein dan Tunku menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Mahathir.
Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Tun Hussein mempunyai dua anak lelaki serta empat anak perempuan. Isterinya Toh Puan Suhaila Tan Sri Haji Mohd Noah. Pada 30 Mac 2004, anak lelakinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, menjadi Menteri Pelajaran Malaysia.Kemudian selepas Permulaan pentadbiran Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Dato' Seri Hishamuddin dilantik pula sebagai Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya, anak perempuan sulungnya, Datin Roqiyah Hanim, meninggal di Kuala Lumpur pada 17 September 2005 sewaktu berumur 56, kerana menghidap penyakit barah payu dara.
No comments:
Post a Comment