Logo dan Tema Hari Kebangsaan
1976 ![]() |
KETAHANAN RAKYAT
Lima lembaga manusia melambangkan
lapisan rakyat yang berganding bahu membentuk satu tujuan dan cita-cita
kemakmuran dan keselamatan negara. Tema "KETAHANAN RAKYAT" ditulis
melengkung di atas menjadikan rekabentuk ini bulat dan bertangkup
melambangkan keteguhan negara.
Rekabentuk ini juga berupa rebana ubi
menggambarkan satu masyarakat yang berkebudayaan. Bulatan tadi
membendung perkataan '31 Ogos' sebagai Hari Kebangsaan. Lima lembaga
manusia juga mencerminkan lima prinsip Rukunnegara yang menjadi landasan
kepada matlamat negara. Warna yang digunakan ialah warna-warna daripada
bendera Malaysia.
|
1977 ![]() |
BERSATU MAJU
Logo ini bertema "20 TAHUN BERSATU
MAJU". Ia mempunyai lima bahagian yang naik meruncing menuju ke atas
sebagai tanda kemajuan dan semua bahagian ini semakin rapat untuk
membayangkan hasrat rakyat untuk bersatu. Lima bahagian atau tiang yang
ada melambangkan lima prinsip Rukunnegara dengan yang di tengah-tengah
sekali (yang paling tinggi) menandakan prinsip pertama, yakni
kepercayaan kepada Tuhan. Tiang-tiang lain yang rupa dan bentuk asalnya
diambil daripada bentuk hadapan perahu melambangkan empat prinsipRukun
Negarayang lain, sementara bentuk hadapan perahu dipilih sebagai
menandakan teras kebudayaan Nasional yang berasaskan kepada apa yang
benar-benar timbul dari bumi negara ini.
Bulatan yang mengandungi nombor 20 atau
rupa bentuk unsur-unsur kebudayaan itu menandakan 20 tahum selepas
merdeka. Empat tiang diperbuat drp.timah bagi menandakan kemajuan
perdagangan dan perindustrian negara ini, sementara tiang yang paling
tinggi diperbuat daripada kayu belian bagi menandakan keteguhan bumi
Malaysia.
Di kelilingnya pula terdapat sebuah
kolam dengan airnya berwarna biru laut bagi menandakan kekayaan hasil
laut dan kemajuan para nelayan yang dialami sejak merdeka.
Sementarajejambat kecil yang menyerupai petak-petak melintasi kolam
membayangkan betapa teguh dan sistematiknya ekonomi pertanian negara
ini. Jadi jelaslah bahawa logo tersebut merangkumi kemajuan segenap
sektor kehidupan iaitu lahiriah (Pertanian danPerindustrian) dan
batiniah.
|
1978 ![]() |
KEBUDAYAAN SENDI PERPADUAN
Selaras dengan tema Hari Kebangsaan 1978
iaitu, "KEBUDAYAAN SENDI PERPADUAN", logo ini menggambarkan bulan sabit
serta bintang berwarna kuning yang diambil daripada sebahagian daripada
lambang bendera Malaysia dan memberikan makna sebuah negara (Malaysia).
Di dalam bulatan bulan dan bintang itu terdapat suatu bulatan lagi
dalam bentuk ukiran berwarna biru yang mencerminkan kesenian negara dan
diikuti pula dengan bentuk kepala dan badan berwarna biru seolah-olah
bersendi dan bercantum yang mendedahkan perpaduan rakyat.
Bulatan yang terakhir pada logo ini
memberikan gambar rebana ubi berwarna merah/kuning yang melambangkan
kebudayaan dan ditengah-tengah sekali kelihatan angka 'XXI' yang
memberikan erti 21tahum merdeka. Ringkasnya logo tahun ini memberikan
penerangan babawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengandungi rakyat
berbilang keturunan dan mempusakai berbagai-bagai kesenian dan
kebudayaan dan di samping itu berjaya menaungi serta memupuk rakyatnya
hidup bersatupadu.
|
1979 ![]() |
BERSATU BERDISIPLIN
Logo ini berbentuk lima segi dan bulatan
di luar melambangkan perpaduan pada keseluruhannya. Lima bulatan kecil
berwarna biru melambangkan prinsip-prinsip Rukunnegara dan juga rakyat
Malaysia yang berbilang kaum. Segi lima yang berwarna merah melambangkan
kerjasama, perpaduan dan disiplin rakyat yang bersama-sama menuju ke
arah matlamat untuk memajukan negara.
Matlamat tersebut dilambangkan oleh
bulatan-bulatan yang berwarna biru, merah di tengah-tengah bentuk lima
segi itu. Bulatan kecil kuning melambangkan kedaulatan raja dan
memberikan makna taat setia rakyat terhadap pemerintahan beraja. Selaras
dengan tema tahun ini, logo ini melambangkan rakyat Malaysia daripada
berbagai-bagai keturunan dan daripada segenap lapisan masyarakat
bersatupadu dan berdisiplin mematuhi amalan-amalan prinsip Rukun Negara
dan dengan itu dapat menuju kearah kemakmuran dan keamanan.
|
1980 ![]() |
BERDISIPLIN BERBAKTI
Logo ini melambangkan masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa yang berdisiplin berpandukan
Rukun Negara (bentuk lima segi) dalam mencapai kesejahteraan hidup
hari-hari. Bulatan-bulatan yang melindungi di tengah-tengah itu adalah
kumpulan-kumpulan berbilang bangsa yang sentiasa bersedia berbakti
kepada Raja dan Negara. Bulatan Besar yang melingkumi segala bentuk yang
ada itu melambangkan 'bulat manusia kerana muafakat'. Bentuk bulat itu
juga menegaskan lagi keutuhan hidup berdisiplin.
|
1981 ![]() |
BERDISIPLIN BERHARMONI
Logo Hari Kebangsaan 1981 ini
melambangkan kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai oleh negara kita
selama 24 tahun iaitu sejak mencapai kemerdekaan dahulu. Bentuk yang
merupakan tiga orang di sebelah bawah logo melambangkan masyarakat
berbilang bangsa yang sentiasa berganding bahu berusaha menampung dan
menuju mercu kejayaan dan kemajuan melalui lima tiang yang mencerminkan
garis panduan hidup berdasarkan prinsip Rukunnegara. Bulatan-bulatan
yang di sebelah atas melambangkan kejayaan dan kemajuan yang berunsurkan
politik, ekonomi dan kemasyarakatan.
|
1982![]() |
BERDISIPLIN GIAT MAJU
Logo tahun ini berbentuk bunga raya yang
merupakan Bunga Kebangsaan. Daripada segi ciri-ciri bunga tersebut ia
dapat melambangkan ketahanan yang tetap segar seperti yang telah
dibuktikan oleh bunga itu sendiri. Warna-warna yang digunakan adalah
warna yang terdapat pada bendera Malaysia. Lima kelopak bunga tersebut
boleh diertikan sebagai lima prinsip Rukunnegara yang membentuk keutuhan
negara.
Bulatan yang kelihatan menunjukkan
keharmonian perpaduan dan kesempurnaan. Seperti digambarkan warna biru
pada angka 25 melambangkan cinta rakyat terhadap negara dan percantuman
25 itu dapatlah melambangkan perpaduan, liku hidup dan pembangunan yang
telah dialami oleh negara dalam bidang pembangunan dan kestabilan negara
bagi mencapai 25 tahun merdeka dan terus berkembang untuk 25 tahun dan
seterusnya pada masa hadapan.
|
1983![]() |
BERSAMA KE ARAH KEMAJUAN
Logo Hari Kebangsaan 1983 ini merupakan
anak panah yang memberikan gambaran menuju ke satu arah tertentu, iaitu
matlamat kemajuan. Logo ini melambangkan perpaduan dan kerjasama yang
erat antara beberapa golongan rakyat dalam berbagai-bagai bidang.
Ini digambarkan melalui tiga simbol
empat segi yang terjalin antara satu dengan lain yang di dalamnya
mengandungi bulatan-bulatan yang menggambarkan kelompok-kelompok
golongan yang terdiri daripada usahawan-usahawan persendirian, golongan
swasta dan golongan pentadbiran awam. Ketiga-tiga golongan ini bergiat
untuk membangunkan negara ke arah kemajuan dan didukungi oleh satu petak
tiga segi yang melambangkan sokongan pihak Kerajaan terhadap usaha
bekerjasama bagi mencapai aspirasi negara.
|
1984![]() |
AMANAH ASAS KEJAYAAN
Logo Hari Kebangsaan bagi tahun 1984
melambangkan tema 'AMANAH ASAS KEIAYAAN'. Bulatan putih di tengah-tengah
logo mencerminkan kesucian, kesempurnaan dan keutuhan yang menjadi
intisari kepada sifat amanah. Bulatan biru yang dikelilingi oleh rajah
kuning biru berbentuk lima segi melambangkan hidup muafakat di antara
rakyat berbilang kaum di dalam negara yang berdaulat berserta kerjasama
yang erat antara sektor awam dengan swasta yang akan membawa kejayaan di
berbagai-bagai aspek. Manakala lima bentuk merah yang menyerupai anak
panah menunjukkan apa-apa yang kita usahakan telah menuju kejayaan
dengan pancaran anak panah yang bermula dari bulatan putih sebagai asas
amanah serta juga daripada aspek-aspek lain.
|
1985![]() |
NASIONALISME TERAS PERPADUAN
Logo Hari Kebangsaan bagi tahun 1985
melambangkan tema "NASIONALISIME TERAS PERPADUAN". Lima bulatan biru
yang dikandungi oleh bentuk-bentuk merah melambangkan rakyat Malaysia
berbilang kaum daripada berbagai-bagai rumpun bangsa yang bersatupadu
manakala bentuk-bentuk merah pula melambangkan semangat nasionalisme
yang menjadi teras perpaduan tersebut.
Bulatan putih menunjukkan negara yang
bersih dan harmoni. Bulatan biru di tengah-tengah menunjukkan perpaduan
erat di antara kaum menjadikan satu bangsa rakyat Malaysia manakala
bulatan kuning melambang negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
Bulatan merah menunjukkan patriotisme menjadi asas yang penting dalam
mengukuhkan perpaduan rakyat yang cintakan negara.
|
1986![]() |
BANGSA TEGAS NEGARA TEGUH
Logo Hari Kebangsaan bagi tahum 1986 ini
melambangkan tema "BANGSA TEGAS NEGARA TEGUH". Bentuk-bentuk berwarna
biru mencerminkan kesungguhan dan ketegasan negara ini dalam usaha
memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan negara di kalangan masyarakat
antarabangsa.
Sikap negara yang teguh dan positif ini
hanya dapat diwujudkan dengan adanya sokongan lapisan rakyat Malaysia
seperti yang dilambangkan dengan bentuk tiga segi berwarna merah itu.
Warna Kuning di tengah melambangkan kedaulatan Raja-raja yang merupakan
satu daripada prinsip Rukun Negara.
|
1987![]() |
SETIA BERSATU BERUSAHA MAJU
Logo berbentuk empat segi yang terletak
di atas empat bulatan sementara bulatan yang kelima pula terletak di
tengah-tengah. Bentuk empat segi melambangkan penekanan dalam empat
bidang ekonomi iaitu perumahan, pertanian, pelancongan dan
perindustrian. Kegiatan dalam empat bidang ekonomi ini memerlukan
dukungan oleh lima bidang kegiatan yang dilambangkan oleh lima bulatan.
Lima bidang kegiatan yang dimaksudkan
ialah penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan prasarana kewangan dan
keselamatan. Lima bulatan juga melambangkan Rukun Negara. Warna kuning
dalam bulatan tengah membawa erti kesetiaan, warna biru yang mewarnai
bentuk empat segi dan lima bulatan melambangkan keharmonian yang wujud
di kalangan rakyat jelata yang bersatu padu sementara warna merah pula
membawa erti berusaha. Gabungan warna dan bentuk logo ini melambangkan
tema SETIA BERSATU BERUSAHA MAJU.
|
1988![]() |
BERSATU
Tema "BERSATU" pada bahagian ini yang
berupakan tiga kepala dan satu tubuh adalah digambarkan secara grafik,
di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum haruslah
bersatu bagi mengekalkan perpaduan dan keamanan di kalangan rakyat yang
berjiwa Malaysia.
Lima jalur merah dan putih ini juga
membawa erti rangkaian lima prinsip Rukun Negara yang sentiasa diamalkan
oleh penduduk negara ini. Tiga cabang mengistilahkan konsep Bersih,
Cekap dan Amanah yang menjadi asas pentadbiran kerajaan dan amalan
kehidupan seharian rakyat Malaysia. Warna kuning melambangkan sistem
raja berperlembagaan yang membawa rakyat bersatu.
|
1989![]() |
BERSATU
Keunikan tikar mengkuang yang memaparkan
hasil seni anyaman tradisional sejak zaman-berzaman, menjadi aspek
penting dalam konsep logo ini. Petak-petak berwarna-warni ini ibarat
'anyaman' yang kukuh lagi erat, lambang perpaduan masyarakat berbilang
bangsa di Malaysia. Petak-petak berbentuk empat segi merah dan biru
menandakan rakyat di negara ini hidup aman damai berteraskan perpaduan
nasional.
Bentuk-bentuk ini dipisahkan oleh
jalur-jalur putih yang mempunyai erti tersendiri, iaitu jalur yang
membawa maksud kebebasan dalam mengamalkan ajaran agama, menentukan adat
resam dan kebudayaan serta mengamalkan ajaran agama, menentukan adat
resam dan kebudayaan serta kebebasan menyuarakan cita-cita masyarakat.
Petak-petak yang berbentuk empat anak
panah yang bertemu di tengah membayangkan satu matlamat ke arah kejayaan
berpandukan semangat setiakawan dan berganding bahu. Sementara empat
bulatan kuning mempunyai peranan penting dalam mendukumg sebuah negara
yang mengamalkan pemerintahan demokrasi.
|
1990![]() |
BERJAYA
Konsep tema "BERJAYA" digambarkan
melalui tiga kepala dan tiga tangan yang dilingkungi warna biru
melambangkan rakyat Malaysia berbilang bangsa yang hidup bersatu demi
mengekalkan perpaduan serta keamanan untuk memastikan kejayaan Malaysia
seluruhnya.
Warna kuning pada bulatan melambangkan
sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang menjamin keutuhan dan
kestabilan negara yang seterusnya akan menjamin kejayaan Malaysia. Jalur
merah dan putih yang berbentuk tangan menjulang ke atas membawa erti
kejayaan dalam pelbagai bidang kehidupan yang menjadi kehendak dan
cita-cita negara yang tiada hadnya.
Warna ini juga melambangkan konsep
Bersih, Cekap dan Amanah yang sentiasa menjadi asas pentadbiran negara.
Warna biru yang menjadi latar belakang logo melambangkan keharmonian dan
kestabilan negara.
|
1991![]() |
WAWASAN 2020
Logo Hari Kebangsaan 1991 ini bertemakan
Wawasan 2020. Anak panah yang terdiri daripada jalur-jalur merah, biru,
putih dan kuning melambangkan azam dan tekad rakyat Malaysia yang
bersatu padu menyokong usaha ke arah menjadikan negara ini sebuah negara
maju.
Bentuk segi tiga berwarna merah
mencerminkan sokongan rakyat untuk melipatgandakan daya usaha
pengeluaran agar tercapai hasrat tersebut. Bulatan biru, putih dan merah
melambangkan perancangan dan pengawalan yang terakhir iaitu yang
berteraskan nilai-nilai yang luhur dan murni dalam usaha mencapai
wawasan 2020 (dua puluh dua puluh) itu.
|
1992![]() |
WAWASAN ASAS KEMAJUAN
Rekabentuk Logo adalah berasaskan huruf
'W' dan anak panah. Huruf 'W' merujuk kepada perkataan Wawasan dan tiga
anak panah dalam huruf 'W' yang menuju ke atas melambangkan arah dan
haluan Wawasan iaitu kemajuan ekonomi, sosial dan kerohanian masyarakat
Malaysia dan negara di masa depan.
Warna-warna merah, putih, biru dan
kuning iaitu warna-warna Bendera Malaysia yang terdapat pada logo ini
adalah sebagai lambang masyarakat berbilang kaum di negara ini yang
hidup bersatupadu dan harmoni yang merupakan tunjang utama dalam
memastikan kegiatan ekonomi dan sosial dapat bergerak cergas menuju ke
arah matlamat yang dicita-citakan.
Secara keseluruhannya, rekabentuk logo
ini membawa maksud masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang
kaum hidup bersatupadu dan harmoni dalam sebuah negara yang stabil, aman
dan makmur sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara 'maju' di masa depan.
|
1993![]() |
BERSATU MENUJU WAWASAN
Rekabentuk:
Bentuk hampir bulatan : Menggambarkan
bersatupadu, bekerjasama, bersemangat setiakawan, berharmoni serta
bercita-cita tinggi bagi mencapai wawasan.
Warna:
Merah dan putih : Melambangkan
keberanian, kecekalan dan mempunyai semangat juang yang mantap dan
gigih, kesucian, ketulusan, keikhlasan serta semangat untuk mencapai apa
yang di wawasankan.
Biru : Menggambarkan cita-cita setiap
masyarakat Malaysia yang inginkan kemajuan, keharmonian, kesejahteraan
dan keamanan yang berkekalan menerusi wawasan yang dicita-citakan.
Kuning : Menggambarkan satu arah serta tujuan yang sama-sama dihasratkan bagi mencapai apa yang diinginkan.
Secara keseluruhannya, rekabentuk dan
warna-warna di atas melambangkan cita-cita yang tinggi serta perjuangan
yang ikhlas lagi jujur bagi mencapai wawasan yang diidam-idamkan oleh
setiap rakyat Malaysia
|
1994![]() |
NILAI MURNI JAYAKAN WAWASAN
Tema: Nilai Murni Jayakan Wawasan Bentuk
hati dan anak panah : Nilai murni, bukan hanya terletak pada tingkah
laku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani seseorang
itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia. Segala
perbuatan terletak pada niat di hati. Warna putih pada bentuk 'hati
kecil' melambangkan kebersihan dan kemuliaan hati dengan sifat
nilai-nilai murni.
Warna merah dan biru pada bentuk 'hati
besar' melambangkan berbagai kaum dan lapisan masyarakat Malaysia. Warna
kuning pada anak panah melambangkan matlamat dan hasrat masyarakat.
Secara keseluruhannya rekabentuk logo
dan warna-warnanya melambangkan nilai murni bukan hanya terletak pada
tingkahlaku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani
seseorang itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia.
Segala perbuatan terletak pada niat di hati. Dengan memiliki nilai-nilai
murni inilah masyarakat Malaysia menjayakan dan menuju wawasan 2020.
|
1995![]() |
JATIDIRI PENGERAK WAWASAN
Konsep Logo : Logo ini berkonsepkan
bunga kebangsaan iaitu bunga raya. Keterangan Rekabentuk : Bentuk lima
kelopak Bunga Raya ini dimaksudkan sebagai lima rangkaian prinsip
Rukunnegara.
Warna-warna merah, putih, kuning dan
biru pada logo tersebut berasaskan warna-warna bendera Malaysia yang
melambangkan rakyat Malaysia dari berbilang kaum, agama dan kebudayaan
berusaha membentuk suatu jatidiri tersendiri.
Warna putih pada garisan yang
mengelilingi kelopak-kelopak bunga membawa maksud amalan nilai-nilai
murni oleh rakyat Malaysia telah membentuk keharmonian rakyat. Warna
kuning membawa maksud kedaulatan negara dan wawasan yang hendak dicapai.
Warna merah membawa maksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat
keberanian menempuh cabaran di dalam dan di luar negara. Warna biru
membawa maksud rakyat Malaysia bertekad menjadikan negara ini sebuah
negara yang maju, harmoni dan sejahtera.
Secara keseluruhannya rekabentuk dan
warna logo ini membawa maksud rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan
kebudayaan hidup dalam negara yang berdaulat dan harmoni serta
bersatupadu membentuk jatidiri kebanggaan negara demi menggerakkan
Wawasan 2020.
|
1996![]() |
BUDAYA PENENTU KECAPAIAN
Rekabentuk logo mencerminkan realisasi
kecapaian negara yang progresif dan inovatif dengan keharmonian pelbagai
kaum yang sepakat membina satu budaya yang dinamis. Reka bentuk logo
juga mengutarakan semangat waja masyarakat dalam mengejar aspirasi
negara untuk menjadi sebuah negara yang unggul dari setiap aspek iaitu
ekonomi, sosial dan politik.
Warna Warna biru melambangkan rakyat dan
Kerajaan bergabung tenaga.Warna merah melambangkan semangat bersama
yang membakar dalam setiap jiwa rakyat. Warna putih melambangkan niat
murni rakyat dalam menuju usaha mencapai kejayaan bersama. Warna kuning
melambangkan matlamat yang hendak dituju pada setiap masa iaitu
keharmonian pelbagai kaum.
|
1997![]() |
AKHLAK MULIA MASYARAKAT JAYA
Reka bentuk : Tangan berdoa dan tiga
lapisan hati menggambarkan harapan negara (tangan berdoa) semoga
masyarakat berbilang kaum di Malaysia hidup harmoni (tiga lapisan hati),
mempunyai akhlak (rohaniah) mulia mengamalkan kesopanan dan kesusilaan
diri demi kejayaan negara. Warna : Warna putih melambangkan akhlak mulia
(hati dan jiwa) dan kuning melambangkan sifat hormat menghormati dan
merah melambangkan sifat berani berusaha untuk mencapai cita-cita dan
wawasan negara.
|
1998![]() |
NEGARA KITA, TANGGUNGJAWAB KITA
Menggambarkan aspirasi serta
tanggungjawab rakyat membina negara ke arah kecemerlangan dalam semua
aspek kehidupan sosial, ekonomi dan politik. Tiga bulatan merangkumi
warna asas Bendera Malaysia berserta bintang 14 bucu melambangkan 13
Negeri dan Wilayah di Malaysia.
Bulatan biru berbentuk lembaga manusia
menjunjung wawasan serta kedaulatan negara. Warna putih melambangkan
harmoni rakyat manakala merah mencerminkan usaha padu kerajaan membentuk
wawasan negara sementara kuning melambangkan kedaulatan Negara.
|
1999![]() |
BERSATU KE ALAF BARU
Menggambarkan rekabentuk seorang insan
yang membawa maksud penyatuan minda rakyat Malaysia sejagat mendukung
hasrat dan cita-cita murni negara dalam menuju ke alaf baru yang lebih
dinamik dan mencabar. Bentuk kon (V) melambangkan ke arah menuju visi
negara 2020.
Warna merah melambangkan sifat berani
dan yakin diri. Warna biru melambangkan rakyat rakyat bersatu padu
membentuk wawasan negara, Warna putih melambangkan kesucian jiwa dan
nilai murni rakyat. Warna kuning melambangkan tekad dan kesatuan hati
rakyat Malaysia menjunjung kedaulatan negara.
|
2000,2001, 2002,2003, 2004,2005,2006 ![]() |
KERANAMU MALAYSIA
Logo Perayaan Bulan Kemerdekaan ini
menggambarkan rasa kesyukuran dan terhutang budi rakyat Malaysia yang
berbilang kaum, budaya dan fahaman politik di atas nikmat keamanan,
kemakmuran serta pencapaian cemerlang negara.
Bulatan berwarna biru dan bulan bintang
berwarna kuning menggambarkan sebuah negara yang terdiri dari 14 buah
negeri di mana Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain bebas
dipraktikkan dan rakyat semuanya hidup di dalam keadaan aman, makmur dan
bersatu padu.
Warna merah, kuning dan putih berbentuk
objek melambangkan tiga kaum utama di Malaysia (Pribumi, Cina, India)
menadah tangan bersama (Keranamu Malaysia) tanda bersyukur, rasa
terhutang budi dan bangga mengecapi kemajuan dan kemakmuran di bumi
bertuah bernama Malaysia. Seterusnya mereka bertekad untuk meneruskan
kecemerlangan ini di masa akan datang yang digambarakan melalui pegangan
tangan yang meruncing dan bentuk "V" yang bermaksud vision atau
wawasan.
|
2007![]() |
MALAYSIAKU GEMILANG
Rekabentuk logo ini diilhamkan dari
jalur Gemilang sedang berkibar yang merupakan bendera kebangsaan rakyat
Malaysia. Kibaran Jalur Gemilang melambangkan semangat kecintaan rakyat
pada negara. Jalur merah dan putih digayakan dalam bentuk angka lima
manakala bentuk bulan dan bintang dijadikan angka kosong yang mana ia
menjadikan angka 50 yang menjadi tonggak utama logo ini sempena ulang
tahun kemerdekaan ke-50.
Bahagian di hujung angka 5 terus
disambungkan pada stigma bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan
Malaysia. Pada stigma itu diletakan lima titik di hujungnya yang
bermaksud lima prinsip Rukun Negara yang menjadi amalan setiap rakyat
Malaysia.
Bentuk dasar logo adalah bulat yang
‘italic/slanted’ ke kanan. Bentuk ini adalah dinamik yang memberi maksud
kemajuan yang pesat yang dialami oleh negara Malaysia sejak 50 tahun
mencapai kemerdekaan. Bentuk bulat juga bermaksud rakyat Malaysia
berbilang kaum yang bersatu dalam mencapai nikmat dan kemajuan sepanjang
50 tahun usia kemerdekaan.
Warna merah dan putih melambangkan
keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru bermaksud perpaduan yang
dijalinkan oleh rakyat. Manakala kuning adalah melambangkan ketua
negara, Yang di-Pertuan Agong dan juga bermaksud kegemilangan yang
dikecapi semenjak 50 tahun usia kemerdekaan Malaysia.
|
2008![]() |
PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Rekabentuk logo ini diilhamkan dari
ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat
melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”. 3 ikatan figura manusia saling
berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama
lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
3 rupa bentuk manusia digayakan
bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang
bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam
perpaduan. Warna merah simbol keberanian rakyat.
Putih simbol kesetiaan keseluruhan
rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh
kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem
Beraja dan Yang di-Petuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna
kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.
|
2009
![]() |
1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
Logo berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia ini dinamakan 1 Malaysia. Logo 1 Malaysia melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa. |
2010
![]() |
1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI
Melambangkan visi Negara iaitu untuk
mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan
Negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.
Mencerminkan rakyat Malaysia yang
saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati
satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.
|
2011![]() |
1MALAYSIA TRANSFORMASI BERJAYA RAKYAT SEJAHTERA |
No comments:
Post a Comment